Thiago sinar baru FELDA UNITED

29 May 2017 12:10PM

Kuala Lumpur: Thiago Augusto Fernandes akan kembali menggegar bola sepak Malaysia bersama FELDA United apabila liga bersambung Julai depan.

Jurulatih B Sathianathan ketika mengesahkan perkara itu berkata, penyerang dari Brazil itu akan menggantikan pemain import Argentina, Gaston Cellerino yang gagal menyerlah sejak menyertai pasukan itu pada awal musim.

Malah, Sathia menaruh harapan tinggi terhadap Thiago yang dijangka dapat menyelesaikan masalah ketumpulan barisan serangan FELDA musim ini.

“Ketumpulan sentuhan penyudah penyerang import dikenal pasti antara punca FELDA gagal memberi cabaran setakat ini. Buktinya kami hanya mampu menjaringkan 16 gol daripada 13 perlawanan.

 

“Malah daripada jumlah itu, penjaring terbanyak kami, Lucas Cano hanya menjaringkan enam gol sementara Gaston lebih mengecewakan apabila mampu jaring satu gol saja.

“Thiago penyerang yang sudah terbukti kemampuannya semasa bermain untuk FELDA dan Kedah. Saya yakin dia pemain yang tepat untuk mengatasi masalah kami,” ujar Sathia.

Thiago, 27, adalah penjaring terbanyak FELDA pada 2015 dengan 13 gol dalam 10 perlawanan walaupun hanya menyertai pasukan itu pada pertengahan musim.

Kecederaan dialami menyebabkan dia tidak disenaraikan dalam skuad FELDA pada 2016.

Bagaimanapun, selepas pulih, dia dipinjamkan kepada Kedah yang menyaksikan pemain itu membantu Helang Merah menjulang Piala Malaysia.

Sathia berkata, FELDA juga akan menguji tiga penyerang import baru sepanjang tempoh rehat ini sambil menilai prestasi Cano.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 12:17 PM