Iktibar buat Melaka United

29 May 2017 12:25AM

Melaka: Kekalahan 0-3 kepada FELDA United pada aksi kedua pusingan kedua Liga Super di Jengka minggu lalu seharusnya menjadi pengajaran buat skuad berwajah baru Melaka United bagi mengharungi baki liga dan Piala Malaysia, musim ini.

Pengurus Datuk Yusoff Mahadi berkata, kekalahan itu memberi impak amat besar buat pasukan berdepan laluan getir selepas Melaka berada di tangga ke-11 liga yang diakui menjadi tekanan kepada skuad itu bangkit.

Katanya, berada di zon penyingkiran Liga Perdana seharusnya menjadi lonjakan semangat buat pemain untuk memenangi setiap baki pusingan kedua buat skuad Hang Tuah yang juga pendatang baru Liga Super.

Menurutnya, apa yang pasti keserasian masih belum ditemui pada perlawanan itu walaupun United mendapat sentuhan pemain baru Jasmin Mecinovic dari Macedonia.

“Kami masih yakin pasukan mampu menyerlah walaupun gagal dalam perlawanan itu. Ia kerana kehadiran import baru dari Brazil, Felipe De Souza yang akan mengemudi barisan tengah selepas ketiadaan Amri Yahyah ke Selangor dilihat bakal menyuntik sentuhan lebih bertenaga buat pasukan,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 12:21 PM